MIRI, 15 Dis: Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr. Annuar Rapaee mengumumkan pelaksanaan pelbagai inisiatif untuk membantu pelajar luar bandar termasuk Program Peningkatan Pendidikan Sarawak (SEEP).
Menurutnya, program ini bertujuan menyediakan tuisyen percuma kepada pelajar tingkatan tiga hingga tingkatan lima bagi meningkatkan kelayakan akademik mereka.
“SEEP ini dapat dijadikan suatu program yang intensif, suatu program yang mempunyai target dan objektif tertentu, saya pasti pelajar-pelajar di luar bandar akan mendapat impak yang paling tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di perasmian Majlis Makan Malam Jalinan Kasih Kutipan Derma Pengurusan Murid Kampung Long Atip di Eastwood Valley Golf and Country Club di sini, pada Sabtu.
Katanya, usaha ini dilihat sebagai langkah penting untuk memastikan pelajar luar bandar dapat memanfaatkan peluang pendidikan tinggi yang ditawarkan oleh kerajaan.
Beliau juga mengiktiraf usaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Long Atip yang menyediakan rumah tumpangan untuk pelajar yang memerlukan.
“Usaha JKKK Kampung Long Atip ini amat mulia. Mereka menunjukkan tekad tinggi untuk memastikan anak-anak kampung berjaya dalam pelajaran,” katanya.
Beliau juga mengumumkan peruntukan tambahan kepada JKKK Kampung Long Atip untuk mengurangkan beban kewangan mereka termasuk sumbangan RM10,000 daripada beliau sendiri. -TVS