KUCHING, 15 Dis: Langkah Kerajaan Sarawak memperkasakan penyampaian pelaporan media tempatan dengan menanggung sepenuhnya program eksekutif di Universiti Cambridge, United Kingdom (UK) disambut baik pengamal media di wilayah ini.
Presiden Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA), Ronnie Teo Teck Wei berkata, inisiatif itu merupakan peluang keemasan bagi pengamal media untuk menimba ilmu daripada pakar dan pemain industri antarabangsa serta mengaplikasikan kemahiran tersebut dalam usaha membangunkan Sarawak sebagai wilayah maju menjelang 2030.
“Kita dapat memberikan komuniti media di sini peluang dan pendedahan kepada dunia untuk memahami perkembangan di peringkat global dan semoga dapat menterjemahkannya ke Sarawak bagi meningkatkan standard pelaporan di wilayah ini.
“Oleh itu, kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan Kerajaan Sarawak mengenai mekanisme pemilihan panel bagi program ini,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.
Beliau yang juga Editor Eksekutif (Bisnes) The Borneo Post, mengulas rancangan Kerajaan Sarawak untuk menghantar wartawan-wartawan tempatan yang berkelayakan mengikuti Program Eksekutif di Universiti Cambridge, United Kingdom (UK).
Semalam, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, ketika berucap pada Majlis Anugerah Kewartawanan Kenyalang (KJA) 2024, menyatakan bahawa kursus tersebut bertujuan memberi pendedahan kepada pengamal media di Sarawak untuk menguruskan maklumat dan data dengan lebih berkesan mengikut standard antarabangsa.
Abang Johari turut menegaskan bahawa Kerajaan Sarawak akan menanggung sepenuhnya kos perbelanjaan program tersebut dan mencadangkan pihak KDJA, kerajaan dan sektor swasta masing-masing memilih dua calon yang layak untuk menyertai program berkenaan setiap tahun.
Ahli Exco KDJA, Jeeridyne-Eve Chan Sue En juga menyifatkan inisiatif itu sebagai peluang terbaik yang amat dinantikan oleh pengamal media tempatan.
Jeeridyne yang juga Junior Editor TVS, menambah bahawa program itu akan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran wartawan dalam bidang pelaporan dan komunikasi.
“Saya yakin ia juga akan memperluaskan wawasan global media tempatan.
“Semoga melalui program pembelajaran ini, kami dapat mengaplikasikan ilmu yang diperoleh di Sarawak sekali gus menyampaikan mesej kepada dunia bahawa media Sarawak bersedia melangkah ke peringkat global,” katanya. – TVS