BELAGA, 15 Dis: Koordinasi akan dilakukan bagi menunaikan permohonan penduduk pedalaman seperti di Sungai Asap, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Katanya, koordinasi itu akan dilakukan dengan beberapa kementerian di peringkat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak bagi menyalurkan peruntukan terhadap permohonan penduduk di Penempatan Semula Bakun (BRS) Sungai Asap, Murum dan Belaga.
Menurutnya, beberapa keperluan kritikal seperti jalan perhubungan bekas jalan balak dan baik pulih rumah panjang di BRS Sungai Asap akan dirujuk segera kepada kementerian berkenaan.
“Saya tahu daripada senarai yang dikemukan tadi ada yang begitu kritikal yang perlu dilaksanakan dengan segera dan itu nanti saya akan susun bersama dengan Datuk Jasni dan juga untuk kita dapat bantu dan juga berjumpa dengan Premier Sarawak.
“Ini memang ada program khusus sebenarnya untuk baik pulih rumah dan ini nanti saya kena melihat ataupun berjumpa dengan Dato Seri Zahid di bawah Kementerian Pembangunan Desa, mereka ada menguruskan peruntukan baik pulih rumah dan sebagainya,” katanya ketika berucap di Majlis Penangguhan Pesta Kebudayaan Apau Koyan 2024 di sini, malam tadi
Sementara itu, Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak juga memohon agar usaha pembinaan kuarters kediaman kakitangan persekutuan yang baharu di Pekan Belaga dan BRS Sungai Asap serta naik taraf Klinik Sungai Asap dilaksanakan.
Malah, beliau turut memohon agar ICQ di Tapak Megah, Long Nawang Kapit yang bakal menjadi pintu masuk Malaysia dan Indonesia dapat dibina.
“Jadi dengan pembinaan ICQ ini bertujuan bagi menjaga keselamatan aset strategik negara seperti Empangan Bakun, Murum dan dalam pembinaan ialah Baleh Hidro. Kita mesti memperkukuhkan kawalan sempadan negara kita,” jelasnya.
Pada masa yang sama, Fadilah turut menyampaikan Sejati Madani kepada 38 penerima untuk 42 program berjumlah hampir RM3.8 juta. -TVS