KUALA LUMPUR, 15 Dis: Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) mengesahkan acara perlumbaan Pusingan Ketiga Sandakan Drag Battle 2024 di Sabah yang meragut nyawa seorang peserta dari Brunei semalam, tidak diluluskan atau dikawal selia persatuan itu.
MAM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan penganjur perlumbaan tersebut juga bukan ahli kelab badan permotoran sukan negara itu.
“Acara yang dikawal-selia oleh pihak MAM dijalankan dengan mematuhi garis panduan am dan teknikal yang telah ditetapkan oleh pihak FIA (Persekutuan Automobil Antarabangsa) dan FIM (Persekutuan Motosikal Antarabangsa) berkaitan dengan penganjur, kemudahan, peserta dan kenderaan.
“Penganjur dan peserta yang ingin terlibat dalam acara permotoran harus pastikan bahawa acara tersebut telah diluluskan dan dikawal selia dengan menghubungi dan bekerjasama dengan pihak MAM iaitu badan induk, secara terus,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu bagi meningkatkan keselamatan dan profesionalisme sukan permotoran tempatan, pihak MAM juga telah memperkenalkan garis panduan komprehensif untuk kategori perlumbaan drag pada bulan Ogos 2024.
MAM menyatakan garis panduan tersebut yang telah diluluskan pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS), meliputi aspek pengenalan, keselamatan dan pengendalian penganjuran bagi sukan permotoran drag.
Perlumbaan di Sandakan itu menyaksikan kenderaan jenis Honda dipandu anggota Team Prostreet KB Abang Adib Abang Ali, 36, hilang kawalan lalu terbabas ke kiri litar perlumbaan ketika melepasi garisan penamat.
Mangsa kemudian meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Duchess of Kent di Sandakan.
Sementara itu, MAM yang amat berduka cita di atas berita pemergian Allahyarham merakamkan ucapan takziah kepada keluarga arwah. – TVS