SANDAKAN, 15 Dis: Seorang peserta acara Drag Battle maut selepas kenderaan yang dipandunya terbabas dalam kejadian di Litar Sandakan Turf Club, Batu 5, di sini, semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan Ramasamy A/L Kuppan berkata, kejadian berlaku sekitar jam 4.44 petang membabitkan sebuah kenderaan jenis Honda yang dipandu mangsa, seorang warganegara Brunei berusia 36 tahun.
“Siasatan awal mendapati, ketika melepasi garisan penamat, kenderaan itu hilang kawalan lalu terbabas ke kiri litar perlumbaan. Mangsa tersepit di dalam kenderaan sebelum dikeluarkan oleh pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan.
Mangsa yang dikenali sebagai Abang Adib Abang Ali, mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Duchess of Kent Sandakan untuk rawatan, namun disahkan meninggal dunia pada jam 5.25 petang.
Mayat kini berada di Unit Forensik HDOK sementara menunggu proses bedah siasat yang dijadualkan pada hari ini.
Kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR). -TVS