LIMBANG, 15 Dis: Limbang akan mempunyai kemudahan rangkaian jalan perhubungan yang lengkap menjelang 2030, kata Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail.
Jelasnya, ia termasuk projek Lebuhraya Trans Borneo, Rangkaian Jalan Raya, Sarawak Sabah (SSLR) serta Lebuhraya Pesisir Utara.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota itu, rangkaian jalan raya ini amat penting untuk menghubungkan Lawas, Limbang terus ke Miri tanpa melalui negara Brunei, ataupun menggunakan jalan di negara jiran ke Miri mahupun Lawas.
“Tiga jaringan jalan raya utama SSLR, Trans Borneo dan Lebuhraya Pesisir Utara itu akan menjadi ejen perubahan efektif untuk Limbang dan terdekat rangkaian itu ialah Jambatan Sungai Limbang yang kedua yang akan menjadi jambatan ikonik dan kita jangka akan siap suku ketiga tahun 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Penangguhan Hari Belia dan Limbang Motor Day 2.0 di Lapangan Rekreasi Limbang hari ini.
Katanya, ia antara keutamaan dan agenda utama pembangunan di utara Sarawak dalam usaha meningkatkan jalinan perhubungan dan pembangunan lain.
Jelasnya, projek pembangunan itu diteruskan untuk dilaksanakan pada tahun depan bagi memastikan Limbang dan Lawas terus terjalin dengan kawasan lain di Sarawak dalam usaha menyokong pembangunan yang berterusan. -TVS.