KUCHING, 15 Dis: Komuniti di Sarawak disaran untuk terus membantu golongan yang memerlukan di sekitar terutama pada musim perayaan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, menjelang musim perayaan seperti Hari Krismas, pihak komuniti harus lebih banyak beramal kepada mereka yang memerlukan.
Katanya, perkara tersebut bertujuan untuk memberikan kelainan semasa musim perayaan sekali gus sebagai satu nilai menghargai golongan tersebut.
“Kita memang menyokong dan juga mengalu-alukan sesiapa saja yang mahu menyantuni kumpulan rentan dalam komuniti kita agar merasa mereka tidak dilupakan.
“Jadi apabila ada orang luar melakukan merit seperti itu maka ia akan memberi perasaan yang berlainan kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi sidang media “Tis The Season For Giving Event” di Cafe Cafe Rubber Road di Kuching pada Ahad.
Tambahnya, masyarakat perlu memainkan peranan dalam menunjukkan contoh yang baik seperti kepada golongan anak-anak yatim agar mereka tidak merasa terpinggir, sendiri atau diabaikan dalam musim-musim perayaan ini.
“Sebaliknya, masyarakat diminta untuk meneruskan usaha membantu dan menyantuni golongan-golongan muda ini agar mereka membesar melihat dunia masyarakat yang lebih positif khususnya terhadap tindakan-tindakan kebajikan yang dilaksanakan.
“Kalau kita tidak beri perhatian dan tidak menunjukkan contoh yang baik kepada mereka, nanti pada umur dewasa nanti pemikiran dan pandangan mereka akan berbeza, kita mahu anak-anak ini bahawa mereka sedar bahawa ada orang sayang pada mereka dan ada orang mahu beri bantuan dalam cara mereka sendiri,” jelasnya. -TVS