KUCHING, 15 Dis: Kerajaan Sarawak berhasrat menghantar para wartawan yang berkelayakan untuk mengikuti Program Eksekutif yang dilaksanakan di Universiti Cambridge, United Kingdom (UK).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kursus tersebut bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pengamal media di Sarawak agar sentiasa menguruskan maklumat dan data dengan lebih baik mengikut standard antarabangsa.
“Sekarang ini, kita ada perhubungan dengan University Cambridge di UK dan saya mahu menghantar wartawan untuk mengikuti kursus itu, ia merupakan kursus satu bulan sahaja.
“Program tersebut membolehkan anda bergaul dengan para eksekutif antarabangsa dan kemudian membincangkan perkara yang berlaku di seluruh dunia, selain memastikan laporan anda adalah bertaraf global, bukan hanya bertaraf negeri sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Kewartawanan Kenyalang (KJA) 2024 di sini, malam tadi.
Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak akan menanggung sepenuhnya segala kos perbelanjaan yang terlibat dan mencadangkan agar pihak Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA), kerajaan negeri dan juga sektor swasta untuk masing-masing memilih seorang calon yang layak bagi mengikuti program berkenaan.
“Jadi, anda perlulah memilih calon anda sendiri dalam satu panel dan saya rasa kita akan hantar dua orang dalam satu tahun bersama pegawai kanan kerajaan untuk mengikuti program tersebut.
“Kursus itu bukan sahaja melibatkan kewartawanan sahaja, tetapi juga ekonomi, sosial dan dimensi baharu yang akan dapat meningkatkan pandangan serta kualiti yang ada pada para wartawan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Abang Johari turut menzahirkan ucapan tahniah dan syabas kepada para pengamal media yang telah meraih anugerah pada majlis tersebut.
“Saya mengucap tahniah kepada mereka yang telah mendapat anugerah pada malam ini (Sabtu) dan diharap ia dapat menjadi dorongan kepada warga wartawan untuk meneruskan kerjaya masing-masing serta melakukan kerja dengan penuh integriti.
“Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Tuan Haji Basri Mohamad iaitu tokoh wartawan yang disayangi dan Alhamdulillah usia beliau panjang dan masih lagi bergiat serta melihat perkembangan kewartawanan sehingga ke hari ini. Syabas dan tahniah diucapkan kepada beliau,” ujarnya.
Sementara itu, Presiden KDJA, Ronnie Teo Teck Wei berkata, beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak yang sentiasa menyokong para pengamal media di Sarawak, terutamanya di sebalik cabaran-cabaran yang dihadapi pada masa kini.
“Kami mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Premier Sarawak atas sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap industri media sepanjang tahun.
“Kerajaan Sarawak terus memperkasakan pengamal media untuk melakukan yang terbaik agar kami dapat berkhidmat kepada orang ramai, memaklumkan maklumat dengan tepat dan menyediakan platform untuk suara rakyat di Sarawak yang pelbagai untuk didengari,” katanya. – TVS