BELAGA, 15 Dis: Kepelbagaian budaya yang terdapat di Sarawak seperti kebudayaan masyarakat Orang Ulu wajar terus dipelihara dan diamalkan kerana ia merupakan keunikan dan kekuatan terdapat di Sarawak yang berupaya menjadi medan perpaduan penduduk pelbagai kaum, agama dan budaya.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia dapat dilihat melalui penganjuran program kebudayaan seperti Pesta Kebudayaan Apau Koyan 2024.
“Sebab identiti bangsa, adalah melalui kebudayaan jadi ini perlu dipelihara kerana keunikan dan kekuatan kita di Sarawak khususnya, adalah dengan pelbagai kebudayaan dan latar belakang yang berbeza.
“Kita dapat duduk bersama dan kita dapat memahami antara satu sama lain apatah lagi kalau kita mengadakan festival sebegini rupa yang turut dapat menghimpunkan pelbagai latar belakang untuk duduk bersama menghayati dan memahami kebudayaan antara satu sama lain,” katanya ketika berucap di Majlis Penangguhan Pesta Kebudayaan Apau Koyan 2024 di Belaga pada Sabtu.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), menjelaskan ia perlu terus diamalkan agar ia dapat didedahkan kepada generasi muda.
Melalui penganjuran pesta tersebut beliau percaya ia mampu mewujudkan interaksi bersemuka di kalangan ahli keluarga dan masyarakat amnya.
Sementara itu, Presiden Persatuan–Persatuan Kebangsaan Orang Ulu Malaysia (FORUM), Kennedy Chukpai Ugon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum menjelaskan Pesta Kebudayaan Apau Koyan mula dianjurkan pada 2013 dan tahun ini telah mencipta dua rekod dunia yang baharu.
“Sape terbesar yang diperbuat secara tangan iaitu daripada logam terpakai, khususnya bahagian motosikal dengan ukuran luar ataupun ukuran panjangnya adalah 40 kaki dan seberat 300 kilogram. Kejayaan ini melambangkan kreativiti dan keazaman rakyat kita dalam menghargai dan memelihara budaya.
“Rekod kedua yang telah kita rai adalah peserta terbanyak dalam persembahan muzik Orang Ulu dan tarian tradisional di mana seramai 1,212 peserta telah mengambil bahagian dengan 16 jenis alat muzik,” jelasnya.
Pesta Kebudayaan Apau Koyan 2024 merupakan acara dwi tahunan mendapat sokongan daripada pelbagai pihak termasuk Sarawak Energy Berhad (SEB) yang menyumbang dana sebanyak RM350,000.
Pelbagai acara sukan, kebudayaan, pameran dan muzik telah dijalankan bermula 12 Disember yang lalu berakhir dengan Pertandingan Keligit dan Belawan Pesta Kebudayaan Apau Koyan 2024. -TVS