TOKYO, 15 Dis: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, memulakan lawatan rasmi lima hari ke Jepun untuk meneroka potensi pelaburan dalam tenaga hijau dan teknologi.
Pesawat khas yang membawa beliau mendarat di Lapangan Terbang Narita sekitar jam 6:15 petang waktu tempatan.
Ketibaan beliau di hotel turut diiringi dua timbalannya, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, serta Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi disambut Duta Besar Malaysia ke Jepun, Dato Shahrul Effendi Abdul Ghany.
Delegasi Sarawak turut disertai Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Ketua Pegawai Eksekutif SEDC Energy (SEDCE) Robert Hardin dan Ketua Pegawai Elsekutif Invest Sarawak Timothy Ong.
Abang Johari akan memulakan rangka lawatan ke ENEOS Central Technical Research Laboratory di Yokohama, esok.
Lawatan itu bagi melihat kemudahan makmal tenaga berkenaan dan meneroka peluang perniagaan baharu berasaskan teknologi.
Pada sebelah petang pula, beliau dijadual mengadakan beberapa siri pertemuan dengan syarikat ENEOS Corporation, Sumitomo Corporation, Japan Bank for International Cooperation (JBIC) serta Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (METI) Jepun.
Pada Selasa, beliau akan berkunjung ke ibu pejabat Boeing Japan mengenai bahan api penerbangan mampan (SAF), selain mesyuarat bersama Mitsubishi Corporation dan Mitsui OSK Line.
Beliau kemudiannya akan menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Pertama Ferroalloy dengan Asia Minerals.
Di samping itu, Abang Johari turut dijadual untuk melawat Tokyo Gas Yokohama Techno Station Methanation, sebuah fasiliti bagi pengeluaran dan penggunaan hidrogen dan e-methane tempatan.
Pada hari terakhir, Abang Johari akan melawat loji hidrogen bersepadu pertama di dunia iaitu Takasago Hydrogen Park di Hyogo.
Loji ini menempatkan kemudahan canggih yang merangkumi keseluruhan rantaian hidrogen dari pengeluaran, penyimpanan termasuk penggunaan serta pengeluaran hidrogen pirus yang menghasilkan hidrogen tanpa pelepasan karbon dioksida.
Merupakan antara rakan dagang terbesar Sarawak, lawatan kerja Abang Johari ke Jepun juga bertujuan untuk meraih potensi pelaburan baharu terutamanya dalam pembangunan tenaga hijau. -TVS