SANDAKAN, 15 Dis: Seorang lelaki warga asing berusia 28 tahun maut selepas disambar seekor buaya ketika berjalan di atas jambatan kayu di kawasan setinggan pembuangan sampah di Batu 8, di sini, Jumaat lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan Ramasamy A/L Kuppan berkata, kejadian berlaku pada jam 8.20 malam ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah abangnya.
“Hasil siasatan mendapati, buaya tersebut menyerang mangsa dari bawah jambatan kayu. Mangsa sempat menjerit meminta pertolongan sebelum mayatnya ditemui kira-kira dua meter dari lokasi kejadian pada jam 9.30 malam oleh ahli keluarganya.
“Terdapat kesan gigitan buaya di beberapa bahagian badan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Duchess of Kent (HDOK) untuk proses bedah siasat. Kes ini diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut(SDR).
Penduduk kampung di kawasan itu memaklumkan bahawa mangsa bekerja sambilan di Pasar Batu 8 dan ketika kejadian sedang membawa bungkusan ikan.
Menurut mereka, ketika kejadian air laut berada dalam keadaan pasang dan buaya dipercayai menyerang paha kanan mangsa sebelum menariknya ke dalam air dan menenggelamkannya selama kira-kira 15 minit.
“Mangsa kemudian timbul semula dan penduduk cuba menyelamatkannya dengan menariknya ke darat. Mereka juga memberikan bantuan pernafasan (CPR), tetapi tidak berjaya,” kata seorang penduduk.
Difahamkan, jenazah mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Aman. -TVS