MIRI, 15 Dis: Lebih 26 buah sekolah rendah di kawasan Telang Usan kini berstatus Sekolah Kurang Murid (SKM) dengan bilangan murid yang semakin berkurangan setiap tahun.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato Dennis Ngau menyeru ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta ketua-ketua masyarakat untuk mencari jalan menghidupkan semula sekolah-sekolah yang semakin terjejas ini.
Beliau turut memberi amaran bahawa kemungkinan untuk kerajaan menutup sekolah-sekolah yang tidak lagi mempunyai bilangan murid yang mencukupi bukanlah perkara mustahil.
“Saya lihat ada sekolah yang hanya mempunyai kurang daripada 10 murid dengan jumlah guru seramai sembilan orang.
“Keadaan ini tidak mampan untuk jangka masa panjang. Jika sekolah terpaksa ditutup, kita semua akan rugi.Sebab itu, saya mencabar masyarakat untuk tidak menyerah kepada nasib semata-mata. Kita mesti berusaha memastikan sekolah-sekolah ini terus beroperasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Makan Malam Jalinan Kasih Kutipan Derma Pengurusan Murid Kampung Long Atip di Eastwood Valley Golf and Country Club, Miri, pada Sabtu.
Dennis turut menyeru agar golongan yang berkemampuan, khususnya mereka yang berasal dari kawasan Telang Usan, supaya membantu sekolah-sekolah ini dari segi kewangan atau sokongan lain.
“Ramai anak-anak Telang Usan yang kini berjaya dan berkemampuan. Ini masanya untuk memberi semula kepada komuniti. Jangan biarkan ketua kampung terpaksa merayu-rayu kepada pihak berkuasa untuk menyelamatkan sekolah,” katanya lagi. – TVS