KOTA SAMARAHAN, 15 Dis: Sebanyak 11 projek pembangunan sakit yang telah diluluskan dikenal pasti di Sarawak termasuk sejak Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia dikenal pasti dalam laporan pada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) yang menjadi pemantauan pelaksanaan seluruh Malaysia.
“Memang dikenal pasti dalam pelaporan pada yang menjadi pemantauan pelaksanaan seluruh Malaysia. Sebenarnya majoriti dapat disiapkan, namun projek sakit hanya ada 11 di Sarawak.
“Perbincangan ditentukan bagaimana untuk menentukan hala projek ini. Ada yang dapat diselamatkan dan ada yang tidak, tetapi ada yang terpaksa dirujuk kepada jawatankuasa untuk dibincangkan untuk dapat hala tuju sama ada projek atau kontraktor akan ditamatkan,” katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Status Pelaksanaan Projek dan Pembangunan Negeri Sarawak di Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di sini, hari ini.
Ujarnya, 45 peratus projek sakit yang dikenal pasti di Sarawak adalah disebabkan masalah kontraktor yang menghadapi masalah dari segi kewangan sehingga menyebabkan pembatalan kepada projek itu.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, pihaknya akan sentiasa mencari jalan untuk menambahbaik keseluruhan projek seperti meminta agensi pelaksanaan untuk memberi perkembangan dari semasa ke semasa, melakukan pemantauan secara dekat dan mencari jalan untuk membantu antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri menerusi agensi teknikal.
“Kalau tiada kemampuan disebabkan kekurangan pekerja, maka kita kena berbincang kaedah bagaimana kita ingin saling membantu dengan agensi persekutuan untuk datang dan membantu diperingkat negeri,” katanya lagi.
Beliau turut mendedahkan bahawa projek sakit ini merangkumi sektor Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah yang tertangguh akibat beberapa faktor seperti masalah kontraktor, disebabkan pelaksanaan, isu reka bentuk dan utiliti.
Katanya lagi, beliau dimaklumkan bahawa lebih kurang 40 kontraktor penyelamat yang telah disenaraikan di bawah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Kementerian Kerja Raya.
Ditanya mengenai jaminan untuk projek sakit selamat, Fadillah berkata, menurut pelaporan hanya ada dua taskforce yang akan dirujuk untuk penamatan mendapati kontraktor tidak mempunyai kemampuan untuk meneruskan projek tersebut. – TVS