Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pada sidang media selesai Majlis Penutupan Program Youth Startup (SYStartup) 2024 di Kuching pada Sabtu. Foto TVS

SYStartup perkasa usahawan generasi baharu – Abdul Karim

KUCHING, 14 Dis: Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MYSED) Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah yakin akan keberkesanan Program Youth Startup (SYStartup) 2024 dalam melahirkan usahawan generasi baharu yang inovatif, kreatif serta berdaya saing di wilayah ini.

Menurutnya, SYStartup 2024 yang berlangsung sejak 7 Disember lalu, merupakan satu program komprehensif jangka panjang yang direncana untuk memperkasakan usahawan-usahawan baharu di kalangan belia, selain mewujudkan ekosistem sokongan yang berterusan untuk memperkasa serta memangkin perkembangan berterusan golongan usahawan belia ini.

“Ini satu program yang pertama daripada Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, lebih kepada pembangunan usahawan dalam usaha kita untuk membangunkan usahawan-usahawan muda yang berjaya.

“Program ini kita akan teruskan juga pada tahun 2025, kerana kita melihat bahawa sambutan dan juga minat belia-belia baharu sama ada graduan atau bukan graduan dalam membangunkan diri mereka dalam bidang keusahawanan amat tinggi sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selesai Majlis Penutupan Program Sarawak Youth Startup (SYStartup) 2024 di Perkampungan Sukan Sarawak, di sini pada Sabtu.

Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah beramah-mesra bersama peserta program pada Majlis Penutupan Program Youth Startup (SYStartup) 2024 di Kuching pada Sabtu. Foto TVS

Menurutnya lagi, 276 peserta yang menyertai program SYStartup 2024 didedahkan dengan modul-modul program yang dirangka khusus dari peringkat awal merangkumi proses penyediaan ‘business model canvas’ yang menjadi elemen utama dalam membentuk usahawan, selain memberi fokus kepada aspek penting seperti pendaftaran atau pelesenan syarikat, pengurusan kewangan dan audit akaun, pengurusan sumber manusia, pentadbiran syarikat serta perancangan dan analisis sumber.

Selain itu, peserta turut didedahkan dengan kajian risiko dan potensi pasaran, penjenamaan dan pembungkusan serta pengesahan produk, selain menyiapkan peserta dengan kemahiran insani seperti membina keyakinan diri dan pengucapan awam.

Peserta program Sarawak Youth Startup (SYStartup) 2024 turut diberi penerangan tentang skim pembiayaan dan bantuan kewangan dari agensi-agensi yang relevan, baik di bawah Kerajaan Sarawak mahupun Kerajaan Persekutuan.

Hadir sama Timbalan Menteri MYSED, Datuk Dr. Ripin Lamat, Setiausaha Tetap MYSED, Morshidi Fredrick, Timbalan Setiausaha Tetap MYSED, Dolhadi Mazuki dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Awang Putrayusrie Awang Redzuan.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan