KUCHING, 14 Dis: Seorang lelaki berdepan detik cemas selepas kereta dipandu terbakar di Jalan Tabuan, berdekatan Lembaga Hasil Dalam Negeri(LHDN) di sini, awal pagi tadi.
Komander Operasi, Philip Dugat berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 1.57 pagi dengan menggerakkan 13 anggota Balai Bomba dan Penyelamat(BBP) Padungan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian didapati kebakaran melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Alza terbakar keseluruhan di bahagian enjin dan merebak ke tempat duduk kereta.
“Kesan kebakaran tersebut menyebabkan bahangan dan merebak terkena pada sebuah kereta jenis Mazda berwarna kelabu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, pemilik kenderaan selamat dan tidak mengalami apa-apa kecederaan dalam kejadian itu.
“Pihak bomba membuat kerja-kerja pemadaman dengan menggunakan dua aliran nozel salur bantu mula hose reel daripada jentera berjaya memadamkan api sepenuhnya.
“Setelah memastikan kebakaran berjaya dipadamkan dan keadaan selamat, pihak bomba bertolak balik ke balai,” ujarnya. – TVS