MIRI, 14 Dis: Kementerian Kesihatan (KKM) akan bekerjasama rapat dengan Jabatan Veterinar untuk memantau isu African Swine Fever (ASF) yang berlaku di Sarawak.
Menurut Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni, pada masa kini keadaan masih terkawal dan pihak KKM sentiasa bersiap sedia.
“Apa yang dah kita nasihatkan untuk ASF agar pengusaha, penternak babi dan juga pembelian babi-babi daripada sumber yang tidak diketahui haruslah berhati-hati dan juga kita akan memantau dengan rapi berkenaan dengan jangkitan jangkitan yang berlaku di Serian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media di Majlis Apresiasi Tingkatan 5 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Tunku di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan para pengguna agar berhati-hati ketika membeli daging babi yang dijual di pasaran.
“Yang paling penting sekali pengguna, ini adalah musim perayaan mungkin ada pembelian-pembelian daging-daging babi cuma apa ingatan yang dikeluarkan oleh Jabatan Veterinar adalah untuk berhati-hati. Ketahui sumber kerana kita takut babi-babi tersebut membawa penyakit ASF ini,” ujarnya lagi.
Untuk rekod, Pejabat Perkhidmatan Veterinar Bahagian Samarahan telah mengesan kes positif baharu penyakit Demam Babi Afrika (African Swine Fever, ASF) di Bahagian Serian, baru-baru ini.
Sementara itu, berkenaan isu Japanese Encephalitis (JE) di Kampung Tanjung Mukah, Sarawak, beliau berkata KKM telah mengarahkan pejabat kesihatan daerah dan bahagian untuk memantau keadaan tersebut.
“Sekarang apa yang kita laksanakan pasukan Entomologi kita tentang serangga tok sedang melakukan suntikan, vaksinasi untuk JE dan juga di dalam parameter dua kilometer kita akan pastikan kawasan tersebut akan kita lakukan pelaksanaan pencegahanlah.
“Kita perlukan kerjasama masyarakat terutama sekali ketua ketua masyarakat untuk menasihatkan agar kebersihan di kawasan kawasan rumah terutama sekali air yang bertakung tok sama juak seperti kita menangani aedes,” katanya.
Langkah berjaga-jaga sentiasa diambil bagi memastikan ia tidak merebak. – TVS