Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Jasper yang merupakan pengusaha kebun sawit keluarga beliau aktif bermain sape di presembahan-persembahan muzik di seluruh Sabah sebagai aktiviti sambilan beliau. Foto TVS

Jasper ajak anak muda Sabah bermain sape, impi mini RWMF di Sandakan

SANDAKAN, 14 Dis: Sape, alat muzik tradisional masyarakat Orang Ulu di Sarawak, semakin mendapat perhatian di Sabah berkat usaha individu seperti Jasper Alexander, seorang pemuda berusia 31 tahun dari Sandakan, Sabah.

Dengan dedikasi dan minat yang mendalam terhadap sape, Jasper bertekad memperkenalkan instrumen ini kepada lebih ramai pencinta muzik di negeri itu, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Sape, yang dihasilkan daripada kayu lembut seperti meranti atau pulai, dikenali dengan bunyinya yang lembut, menenangkan, dan diselaraskan dalam skala pentatonik.

Namun, menurut Jasper, keunikan sape bukan hanya pada bunyinya, tetapi juga pada kisah legenda di sebaliknya.

Katanya, legenda disebalik sape itu telah benar-benar membuatkannya meminati alat muzik tradisional tersebut.

“Lagenda sape sangat-sangat menarik. Pada zaman dahulu terdapat sepasang suami isteri, dan apabila si isteri sakit, si suami didatangi sesosok roh di mimpinya untuk membuat sape.

“Walaupun tidak pernah melihat sape dan mendengar bunyi sape, si suami terus pergi ke hutan untuk membuat sape menggunakan hasil dari dalam hutan seperti kayu pokok.

“Setelah selesai, si suami pun memainkan sape untuk isterinya, dan ia memberikan penyembuhan kepada si isteri,” kata Jasper, sambil menambah lagenda tersebut amat unik baginya.

Jasper juga mengakui dapat merasai kuasa penyembuhan daripada sape, terutamanya apabila dimainkan di dalam hutan.

Minat Jasper terhadap sape bermula pada tahun 2019 selepas dia melihat persembahan guru muzik, Hallan Hashim, di YouTube, sehinggalah beliau membuat tempahan dan membeli sape dari Sarawak pada tahun yang sama.

Kini, Jasper yang merupakan pengusaha kebun sawit keluarga beliau aktif bermain sape di presembahan-persembahan muzik di seluruh Sabah sebagai aktiviti sambilan beliau.

Walaupun sape lebih sinonim dengan budaya Sarawak, Jasper percaya alat muzik ini boleh berkembang di Sabah.

“Kalau di Sabah ramai sudah, tahun 2024, masuk tahun 2025 semakin ramai yang berminat main sape. Perempuan pun ramai sudah yang main sape, dalam kalangan muda-muda ada,” katanya sambil menambah bahawa walaupun komuniti pencinta sape masih kecil di Sandakan, minat itu semakin berkembang.

“Kalau di Sandakan saya ada satu orang, kalau boleh kira mungkin ada empat orang saja. Sandakan. Masih belum ramai lagi,” jelasnya.

Impian Jasper adalah untuk menganjurkan festival muzik ala Rainforest World Music Festival (RWMF) di Sandakan suatu hari nanti.

Walaupun berdepan kritikan daripada sesetengah pihak kerna mempromosi alat muzik Sarawak dan bukan Sabah, Jasper tidak gentar.

“Ya, memang ada yang kecam. Tapi memang sudah minat saya di situ, memang ‘passion’ itu di sape, jadi saya hanya boleh senyum. Setiap orang mempunyai minat yang tidak sama,” katanya.

Usaha Jasper Alexander untuk memperkenalkan sape di Sabah bukan hanya melestarikan warisan muzik tradisional ini, tetapi juga menghidupkan kembali alat muzik yang kaya dengan sejarah dan spiritualiti untuk dinikmati oleh generasi akan datang. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan