Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Tun Wan Junaidi menyampaikan skrol pengajian kepada graduan Dennis Phiong Wei Sheng yang menerima Anugerah Canselor pada Majlis Konvokesyen UTS ke-9 hari ini. Foto TVS

Akademik dan penyepaduan nilai bentuk individu – TYT

SIBU, 14 Dis: Intipati sebenar pendidikan tinggi bukan sahaja terletak pada pencapaian akademik tetapi juga pada penyepaduan nilai yang membentuk individu yang serba lengkap, kata Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata, graduan harus membawa bersama nilai teras seperti keluarga, tanggungjawab sosial, penjagaan alam sekitar, teknologi, dan kemanusiaan.

“Saya amat prihatin dengan cabaran yang dihadapi negara kita seperti berlakunya rasuah, salah urus, salah guna kuasa, dan pecah amanah telah membayangi masyarakat kita.

“Ia adalah realiti yang membebankan rakyat kita dan mengancam struktur moral negara kita. Ini bukan sahaja masa untuk muhasabah, tetapi yang lebih penting, ia adalah masa untuk tindakan tegas.

“Sistem pemerintahan, pentadbiran dan pengurusan kita mesti mengatasi batasan etnik, agama, kedudukan sosial dan status ekonomi. Ia mesti berakar pada nilai, dipandu oleh prinsip dan diperkukuh oleh kebolehpercayaan.

“Hanya melalui ini kita dapat membina semula keyakinan rakyat kita dan memulihkan maruah negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Konvokesyen Ke-9 Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud hari ini.

Tun Wan Junaidi menegaskan tanggungjawab besar yang dipikul UTS bukan sekadar institusi yang menyampaikan ilmu.

“Kami adalah pembentuk peribadi dan arkitek kepada jiwa manusia. Oleh itu, tidak cukup bagi graduan kita untuk cemerlang dalam bidang pengajian mereka.

“Para graduan mesti muncul sebagai individu yang berintegriti, dipandu oleh kompas moral yang teguh.

Tambahnya, kejayaan sebuah universiti diukur oleh keupayaan untuk menanamkan dalam diri graduan nilai-nilai etika, akauntabiliti dan kekuatan dalaman.

“Inilah asas yang akan menjadikan mereka teguh menghadapi arus rasuah dan ketidakadilan.

“Bersama-sama, kita akan memupuk generasi pemimpin yang akan memimpin dengan bijaksana, berkhidmat dengan rendah hati dan menegakkan cita-cita kemanusiaan yang tertinggi.

“Saya menggalakkan setiap daripada anda untuk menerapkan prinsip-prinsip ini semasa anda memulakan kerjaya dan perjalanan peribadi anda, terutama dalam menghadapi dunia yang semakin kompleks dan saling berkaitan,” ujar beliau.

Pada majlis tersebut seramai 351 graduan dari 22 program akademik menerima skrol pengajian masing-masing pada majlis konvokesyen kali ini.

Daripada jumlah itu, dua penerima menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD), 33 penerima Ijazah Sarjana dan 316 penerima Ijazah Sarjana Muda.

Dalam pada itu, Anugerah Canselor telah diberikan kepada Dennis Phiong Wei Sheng dari Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi UTS, sementara Anugerah Akademik pula disampaikan kepada Chintra Dewi Bajat dan Chai Ting Ting.

Turut hadir isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi, dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah UTS, Naib Canselor UTS ,Profesor Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid serta kenamaan lain.-TVS

 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan