MIRI, 13 Dis: Rangkaian Jalan Sarawak-Sabah (SSLR) Fasa Dua yang merupakan projek infrastruktur bernilai RM7 bilion akan meningkatkan hubungan antara Sarawak dan Sabah selain memperkenalkan jalan raya lebih selamat.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, SSLR menyaksikan kerja membaik pulih beberapa jalan di kawasan yang memerlukan perhatian.
“Walaupun Red Line pada asalnya berada dalam keadaan terbaik, selepas lapan tahun, beberapa laluan kini memerlukan pembaikan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Menurutnya, dengan peruntukan RM120 juta, kerja pembinaan di beberapa lokasi dijangka siap pada 2025.
“Red Line yang merangkumi 136 kilometer laluan ini akan memberi manfaat besar kepada rakyat, walaubagaimanapun, beberapa kawasan sepanjang laluan ini mungkin akan kelihatan berbeza kerana ia tidak termasuk dalam projek asal Lebuh Raya Pan Borneo,” ujarnya.
Alexander turut memberi jaminan projek tersebut akan berjalan lancar sekali gus memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat Sarawak.-TVS