KUCHING, 13 Dis: Kerajaan Sarawak terus komited memperkasakan belia dalam bidang e-sukan dengan menyediakan platform untuk mengetengahkan bakat mereka.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata e-sukan bukan sekadar medium hiburan, tetapi juga pemacu ekonomi, platform pendidikan, dan alat untuk memupuk perpaduan.
“Ia menawarkan peluang kepada golongan muda bukan sahaja untuk bersaing, tetapi juga membangunkan kemahiran dalam teknologi, kerja berpasukan dan kepimpinan.
“Sebagai negeri yang menghargai inovasi, Sarawak komited untuk memajukan industri ini melalui inisiatif seperti SAREX24,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan pada Majlis Perasmian Sarawak E-Sport Expo 2024 di sini, hari ini.
Sarawak E-Sport Expo 2024 berlangsung selama tiga hari, bermula 13 hingga 15 Disember, menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM80,000.
Ekspo ini turut menarik penyertaan peserta antarabangsa dari negara seperti Brunei Darussalam, Kolombia, Indonesia, dan Thailand. – TVS