PUTRAJAYA, 13 Dis: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan wujud unsur dendam terhadap siasatan yang dijalankan ke atas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung kehilangan Pulau Batu Puteh kepada Singapura selepas kerajaan di bawah pentadbirannya menarik balik permohonan membatalkan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2018.
Anwar mendakwa, jawatankuasa khas yang ditubuhkan oleh kerajaan terdahulu di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menemukan bukti yang lebih teruk.
“Jawatankuasa pasukan khas dibuat sebelum pentadbiran saya, ketika itu Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri. Pada masa itu, Ahli Parlimen Kota Bharu iaitu Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin menjadi menteri.
“Ini soal wilayah. Mana boleh ada negara yang mengizinkan dengan begitu mudah menyerahkan (wilayah), mana boleh. Saya tidak cadang apa-apa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Darul Ulum, Presint 11, Putrajaya di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata beliau menyerahkan siasatan berhubung isu itu kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).
Semalam, ketika membahaskan Usul Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Pulau Batu Puteh di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan berlaku ketidakadilan dalam prosedur siasatan dengan mendakwa berlaku keadilan versi ‘baharu’ yang hanya digunakan untuk musuh politik tertentu dan bukannya berdasarkan prinsip keadilan sejati. – TVS