BINTULU, 13 Dis: PETRONAS Carigali Sdn Bhd – Sarawak Asset dengan kerjasama Yayasan PETRONAS dan PETRONAS Sarawak menganjurkan Program Memacu Kehidupan 2024 di Dewan Adiwira, SK Kidurong II di sini, hari ini.
Menurut Pengurus Besar Kanan PETRONAS Carigali Sdn Bhd – Sarawak Asset, Noriani Yati Mohamad berkata program ini adalah sebahagian usaha memperkukuh sokongan terhadap masyarakat setempat bersempena sambutan perayaan Krismas.
Program ini berteraskan tiga fokus utama iaitu pendidikan, kesejahteraan dan pembangunan komuniti.
“Program ini bertujuan untuk meringankan beban penerima serta menyemai nilai-nilai murni agar disebarkan secara berterusan,” katanya dalam ucapan perasmian program tersebut.
Beliau turut menekankan bahawa PETRONAS giat membantu sekolah yang mempunyai kelas Pendidikan Khas, dengan menyalurkan bantuan dalam bentuk bahan dan peralatan pengajaran.
“Kami berharap sumbangan ini dapat menyokong guru-guru Pendidikan Khas dan memberi keceriaan kepada pelajar-pelajar mereka,” katanya.
Selain itu, PETRONAS turut menyampaikan bantuan kepada pelajar dari SK Kuala Baram II, Miri.
“Ini adalah salah satu usaha kecil kami untuk membantu komuniti yang memerlukan agar mereka dapat menikmati Krismas dengan lebih bermakna,” jelas beliau.
Noriani turut menyampaikan penghargaan kepada pihak SK Kidurong II dan Pejabat Pendidikan Daerah Bintulu atas sokongan mereka dalam menjayakan program ini.
Beliau berharap sumbangan ini dapat meningkatkan tahap ilmu dan pengurusan diri pelajar-pelajar Pendidikan Khas agar mereka lebih bersedia menjalani kehidupan secara mandiri.