KUCHING, 13 Dis: Ahli-Ahli Majlis Pembangunan Sosial (MPS) Sarawak yang baharu dilantik di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak memikul amanah penting untuk melakukan perancangan lebih holistik dalam mengatasi isu sosial.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata tanggungjawab mereka melibatkan mendepani cabaran berkaitan isu sosial, melaksanakan kaedah intervensi, serta menentukan hala tuju pembangunan sosial, ekonomi dan kebajikan warga dengan penuh integriti.
“Keahlian MPS ini terdiri daripada mereka yang berkaliber termasuklah pengarah, ketua-ketua agensi, institusi serta jabatan yang ada di Sarawak ini.
“Harapan kita agar mereka ini dapat mengenal pasti isu-isu sosial yang berlaku di negeri ini dan mengambil tindakan serta-merta bagi menangani perkara-perkara tersebut dan ini termasuklah isu-isu berkaitan ekonomi juga kesejahteraan sosial untuk membangunkan negeri Sarawak ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pembangunan Sosial Sarawak di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Fatimah turut berharap agar Indeks Kebahagiaan Sosial di wilayah ini akan meningkat ke tahap yang ideal, yakni Tahap 8 berbanding Tahap 7.8 yang dicatatkan pada tahun 2023.
Ahli-Ahli Majlis Pembangunan Sosial (MPS) Sarawak yang baharu dilantik ini mula menggalas tanggungjawab bermula Oktober 2024 hingga Oktober 2026.
Majlis Pembangunan Sosial Sarawak ditubuhkan pada 6 Disember 1984 bertujuan untuk memberi input sosial dalam perancangan pembangunan wilayah ini bagi memastikan adanya keseimbangan serta inklusiviti dalam aspek pembangunan sosial. – TVS