KOTA SAMARAHAN, 13 Dis: Lapangan terbang baharu dan pelabuhan laut dalam dicadang dibina di Tanjung Embang dekat sini, demikian menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif, dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Sehubungan itu, beliau menggesa penduduk Asajaya dan kawasan sekitarnya agar bersedia merebut peluang ekonomi yang bakal tercipta dengan pelaksanaan dua projek mega itu.
“Ia sudah menjadi rahsia terbuka bahawa lapangan terbang baharu dan pelabuhan laut dalam adalah dalam kawasan Tanjung Embang.
“Jadi limpahan daripada apa-apa projek mega seperti itu akan menjurus masuk kepada kawasan, Samarahan ke Asajaya dan juga Kuching,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 13 dan 18 Kanun Tanah Negeri serta Penyerahan Cek Pampasan bagi Projek di Bahagian Samarahan di Kota Samarahan, hari ini.
Abdul Karim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya turut menasihatkan pemilik tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) agar tidak tergesa-gesa menjual tanah mereka untuk keuntungan segera.
Sebaliknya, mereka disarankan terus mengusahakan tanah tersebut bagi meningkatkan taraf sosioekonomi keluarga masing-masing.
“Pelaksanaan dua projek mega ini bukan sahaja akan meningkatkan nilai tanah penduduk, malah membuka peluang ekonomi yang lebih besar di kawasan ini,” katanya.