KUCHING, 13 Dis: Lagu Nang Takdir Kita, nyanyian Razak A’ai, terbitan Todak Music mengetengahkan keindahan budaya Orang Ulu.
Karya ini menggabungkan keunikan bunyi tradisional Sarawak dengan pendekatan moden, mengangkat warisan budaya Borneo melalui kisah cinta yang penuh makna.
Lagu ini menyampaikan naratif tentang individu yang cuba memahami pasangan yang memiliki identiti kuat berakar umbi pada budaya Orang Ulu.
Menggunakan elemen tradisional dan moden, Nang Takdir Kita memberikan penghormatan kepada warisan budaya Sarawak.
Lagu ini turut menampilkan kolaborasi bersama Ezra Tekola, seorang pemain dan pembuat sape terkenal yang dikenali atas usaha gigihnya memelihara serta mempromosikan seni tradisional Borneo kepada generasi muda.