ISTANBUL, 13 Dis: Harga minyak mencatatkan penurunan pada Jumaat berikutan kebimbangan terhadap lebihan bekalan pada 2025, sementara jangkaan peningkatan permintaan di Amerika Syarikat (AS) dan China, dua pengguna minyak terbesar dunia, mengehadkan kerugian, lapor Agensi Anadolu.
Penanda aras antarabangsa minyak mentah Brent turun sebanyak 0.15 peratus kepada US$73.20 setong pada 10.19 pagi waktu tempatan (0719 GMT), berbanding penutupan sesi sebelumnya pada US$73.31.
Penanda aras AS, West Texas Intermediate (WTI), turut susut 0.11 peratus kepada US$69.71 setong, berbanding US$69.79 pada penutupan sesi sebelumnya.
Menurut laporan pasaran minyak terbaru Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) pada Khamis, bekalan minyak global dijangka meningkat sebanyak 1.9 juta tong sehari kepada 104.8 juta tong sehari tahun depan, walaupun tanpa pemotongan jualan OPEC+.
Agensi itu turut meramalkan permintaan global akan meningkat sebanyak 1.08 juta tong sehari kepada kira-kira 103.9 juta tong sehari pada 2025.
Namun, laporan itu menunjukkan lebihan bekalan pada tahun depan apabila negara-negara bukan OPEC+ dijangka meningkatkan pengeluaran sebanyak 1.5 juta tong sehari.
Pengukuhan dolar AS turut menyumbang kepada penurunan harga minyak mentah. Menjelang pemotongan kadar faedah di AS, nilai dolar meningkat, menjadikan minyak yang didagangkan dalam dolar lebih mahal bagi pemegang mata wang lain.
Indeks dolar AS, yang mengukur nilai dolar berbanding mata wang lain, naik sebanyak 0.14 peratus kepada 106.84.
Sementara itu, jangkaan peningkatan aktiviti ekonomi di AS dan China, pengguna minyak terbesar dunia, menyokong permintaan minyak dan mengehadkan kejatuhan harga.
Kebarangkalian pemotongan kadar faedah sebanyak 25 mata asas pada Mesyuarat Rizab Persekutuan (Fed) AS pada 18 Dis dikira pada kadar 96 peratus. Kadar dasar yang lebih rendah dijangka merangsang aktiviti ekonomi di AS, sekali gus meningkatkan permintaan minyak.
Pakej rangsangan ekonomi yang dijangka diumumkan di China, pengimport minyak terbesar dunia juga diramalkan merangsang pertumbuhan ekonomi dan memberi kesan positif terhadap permintaan minyak.