JAKARTA, 13 Dis: Indonesia sekali lagi menunjukkan komitmen terhadap perjuangan rakyat Palestin dengan mengemukakan draf resolusi bertajuk Demand for Ceasefire in Gaza pada Sesi Tergempar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Timbalan Menteri Luar Indonesia Arrmanatha Nasir menegaskan gencatan senjata adalah langkah mutlak untuk melindungi jutaan orang awam di Gaza yang terus menderita akibat serangan dan sekatan tentera Israel.
“Hanya melalui gencatan senjata, kita boleh melindungi berjuta-juta orang awam di Gaza, mengurangkan penderitaan mereka dan memulakan langkah ke arah keadilan serta keamanan,” katanya.
Beliau berkata, Gaza berada dalam keadaan sangat teruk dan semakin membimbangkan.
Lebih 150,000 rakyat Palestin menjadi mangsa dalam tempoh 14 bulan lalu yang mana 70 peratus daripada mangsa adalah wanita dan kanak-kanak.
Sebanyak 1.9 juta rakyat Palestin kini terpaksa melarikan diri dalam keadaan yang teruk tanpa akses kepada keperluan asas seperti makanan, air bersih dan perkhidmatan kesihatan.
Nasir juga berkata, resolusi yang dicadangkan oleh Indonesia ialah gencatan senjata segera, tanpa syarat dan kekal.
Indonesia turut meminta perhatian dan tindakan segera daripada masyarakat antarabangsa untuk mengelakkan kemusnahan seterusnya dan menyelamatkan nyawa di sana. -TVS