SEOUL, 11 Dis: Polis Korea Selatan mengesahkan menyerbu pejabat Presiden Yoon Sook Yeol pada Rabu sebagai sebahagian siasatan terhadap pengisytiharan undang-undang tentera yang dibuat baru-baru ini.
“Pasukan Siasatan Khas terdiri daripada Agensi Polis Negara, Agensi Polis Metropolitan Seoul, dan Perkhidmatan Keselamatan Perhimpunan Negara telah melakukan serbuan ke atas pejabat presiden,” unit itu menyatakan dalam mesej yang dihantar kepada AFP.
Yoon kini berada di bawah larangan perjalanan sebagai sebahagian daripada siasatan pemberontakan dalamannya selepas penggantungan pemerintahan awam yang singkat pada 3 Disember.
Bekas menteri pertahanan Kim Yong-hyun secara rasmi ditangkap pada lewat Selasa atas tuduhan melibatkan diri dalam tugas kritikal semasa pemberontakan dan penyalahgunaan kuasa untuk menghalang pelaksanaan hak.
Pada Rabu Kim dilaporkan telah cuba membunuh dirinya sejurus penahanan dibuat.
Jurucakap Mahkamah Daerah Pusat Seoul memberitahu AFP bahawa Kim telah ditangkap di tengah-tengah kebimbangan bahawa bukti mungkin dimusnahkan.
Kim melalui peguamnya berkata bahawa semua tanggungjawab untuk situasi tersebut terletak pada dirinya dan orang bawahan hanya mengikut perintahnya dan memenuhi tugas yang diberikan kepada mereka.
Kim yang ditahan Ahad telah dikenakan larangan perjalanan bersama bekas menteri dalam negeri dan jeneral yang bertanggungjawab dalam operasi undang-undang tentera.
Operasi itu menyaksikan tentera dan helikopter dihantar ke parlimen dalam percubaan untuk menghalang undian pengisytiharan undang-undang tentera yang dilaksanakan Yoon.
Turut ditahan pada Rabu adalah pesuruhjaya jeneral Agensi Polis Kebangsaan Korea, Cho Ji-ho dan ketua Agensi Polis Metropolitan Seoul, Kim Bong-sik. – TVS