KUALA LUMPUR, 11 Dis: Malaysia berpendirian peralihan kuasa perlu dilakukan secara aman tanpa berlakunya perpecahan mazhab di Syria susulan penggulingan Presiden Bashar al-Assad baru-baru ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, wujud keperluan penekanan terhadap perpaduan dalam menangani cabaran di negara Asia Barat itu.
“Membina semula Syria memerlukan perpaduan dan komitmen bersama untuk keamanan.
“Persidangan ini adalah seruan untuk bertindak. Ia adalah peluang untuk perkongsian dan mengesahkan komitmen kolektif kita terhadap keamanan dan keadilan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Kumpulan Wawasan Strategik: Russia-Islamic World di sini , hari ini.
Sementara itu Perdana Menteri turut membangkitkan kepentingan untuk memupuk dunia berbilang kutub (multipolar) yang menggalakkan kesaksamaan dan keadilan serta menggesa pemimpin untuk menterjemahkan dialog kepada tindakan nyata.
Mengulas lanjut mengenai situasi di Syria, Anwar berkata, kerajaan sedang memantau dari semasa ke semasa mengenai perkembangan di negara itu.
“Kami (Malaysia) menyeru peralihan secara aman yang menghormati pelbagai masyarakat. Perpecahan mazhab mesti ditolak, dan perpaduan mesti dipegang sebagai prinsip panduan untuk membina semula negara. Kami mempunyai kewajipan untuk menyokong,” ujarnya.
Ahad lepas, Bashar al-Assad digulingkan oleh kumpulan pemberontak Hayat Tahrir al-Sham (HTS) sekali gus menamatkan perang saudara selama 13 tahun. – TVS.