KUCHING, 11 Disember : Usaha murni Lembaga Tabung Haji (TH) bersama TVS Prihatin melakar senyuman para penghuni dua pusat jagaan kebajikan di Sarawak, iaitu Pusat Jagaan Laman Huda dan Pertubuhan Kebajikan Baiturrahmah Kuching dengan penyampaian sumbangan Zakat Wakallah daripada kedua-dua organisasi berkenaan.
Sumbangan berupa bantuan tunai dihulurkan bagi memenuhi keperluan harian penghuni rumah-rumah kebajikan terlibat.
Kali ini, Pusat Jagaan Laman Huda menerima manfaat untuk lapan pelajar perempuan, manakala Pertubuhan Kebajikan Baiturrahmah Kuching membantu 11 pelajar lelaki.
Majlis penyerahan sumbangan telah disempurnakan Pengarah Negeri Sarawak Lembaga Tabung Haji, Amat Kassim Pait dan Ketua Pemasaran Negeri Sarawak, Tuan Haji Madehi Mahdan sebagai tanda sokongan terhadap TVS Prihatin, inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) stesen milik kerajaan negeri.
Turut hadir mewakili TVS ialah Ketua Pegawai Media, Sardon Zainal.
Sementara itu? Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Baiturrahmah, Mohd Salleh Hamden menzahirkan penghargaan ke atas bantuan yang disalurkan.
“Kami bagi pihak Pertubuhan ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada pihak Tabung Haji yang diketuai oleh Tuan Haji Ahmad dan juga pihak TVS.
“Bantuan ini sangat bermakna untuk memastikan objektif kami tercapai, khususnya dalam menyediakan pendidikan Islam yang holistik, membentuk sahsiah terpuji, dan mempersiapkan mereka menjadi individu yang mampu memberi sumbangan bermakna kepada negeri Sarawak dan negara,” katanya ketika ditemui pemberita TVS usai majlis penyerahan sumbangan tersebut di sini, hari ini.
Beliau juga menyeru agar masyarakat turut memberikan sokongan dalam pelbagai bentuk, termasuk kewangan dan khidmat sukarela.
“Selain sumbangan kewangan, kami memerlukan tenaga sukarela, contohnya kaunselor atau guru-guru yang boleh membantu pendidikan anak-anak ini.
“Kami juga berharap orang ramai dapat menghubungi kami jika mengenali anak-anak dari kawasan pedalaman yang memerlukan peluang pendidikan di sini,” tambah beliau.
Sementara itu, Pengetua Pusat Jagaan Laman Huda, Nurulhuda Hilda Abdullah, berkata pusat itu ditubuhkan untuk membantu keluarga-keluarga yang daif mendapatkan peluang pendidikan bagi anak-anak mereka.
“Kami tubuhkan pusat ini untuk menaikkan taraf keluarga yang kurang berkemampuan, khususnya memberi peluang kepada anak-anak saudara kita ini untuk belajar dan berjaya seperti orang lain,” katanya.
Beliau juga berharap lebih banyak pihak tampil membantu pusat tersebut.
“Rumah ini masih belum menerima bantuan daripada mana-mana pihak. Jadi, kami berharap agar saudara-saudara di luar sana dapat membantu, sama ada dari segi derma ataupun sokongan lain, demi kelangsungan rumah ini,” ujarnya lagi.
Untuk rekod, kerjasama antara Lembaga Tabung Haji dan TVS Prihatin melalui program CSR ini telah berjaya menyalurkan sejumlah RM125,000 Zakat Wakallah sejak Mac lalu, bagi membantu golongan asnaf dan muallaf di Sarawak. – TVS