KUALA LUMPUR, 11 Dis: Hospital Bersalin Razif (HBR) menyangkal dakwaan yang tular di media sosial sejak semalam berhubung jasad seorang bayi lelaki yang ditahan dan dibekukan selama lebih dua minggu disebabkan bapanya tidak mampu melunaskan bil hospital berjumlah RM2,480.
Menurut HBR, kebenaran untuk menguruskan jenazah terlebih dahulu sebelum pembayaran diselesaikan telah diberi, namun hospital itu mendakwa sang bapa tidak memberikan kerjasama sepenuhnya dengan pelbagai alasan dikemukakan.
“Permit pengebumian sudah ditandatangani dengan doktor memaklumkan kepada suami untuk menguruskan pengebumian pada keesokan harinya. Namun begitu, suaminya kemudian keluar dari hospital dengan alasan perlu ke tempat lain.
“Pesakit disahkan sihat dan dibenarkan keluar pada hari berikutnya, namun begitu dia memaklumkan bahawa tidak dapat menjelaskan jumlah bil sebanyak RM2,480. Dia kemudian dimaklumkan boleh menguruskan pengebumian dahulu sebelum membayar bil itu.
“Pesakit memberi alasan bahawa urusan pengebumian akan diuruskan oleh pihak suami. HBR terus menunggu maklum balas suaminya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, HBR berkata sepanjang dua minggu di hospital, pesakit telah dilawat oleh suami namun usaha pihak hospital untuk berhubung dengannya menemui jalan buntu.
“Suami pesakit datang melawat selama beberapa minit dalam dua hingga tiga hari, namun usaha untuk bercakap dengannya tentang urusan pengebumian gagal.
“Pengurusan HBR berbincang dengan pesakit untuk mendapatkan bantuan polis bagi menyelesaikan pengebumian tetapi dia merayu untuk tidak melibatkan pihak berkuasa. Dia sekali lagi memberitahu bahawa semua keputusan adalah dari suaminya,” jelasnya.
Dalam pada itu, HBR mendakwa kedua – dua mereka masih belum berkahwin dengan perkara itu diakui pesakit ketika mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.
HBR menjelaskan, pihaknya menerima pesakit tersebut atas dasar kemanusiaan walaupun wanita itu tidak membuat tempahan untuk bersalin di situ selain tidak melalui saringan.
Pada Selasa, tular di media sosial perkongsian pengurusan jenazah Islam Mr Wan Chai Official di laman Facebook berkenaan mayat bayi lelaki didakwa ditahan di dalam peti mayat di sebuah hospital swasta kira-kira 16 hari, dipercayai selepas bapanya tidak mempunyai wang untuk menuntut jenazah tersebut. – TVS