JAKARTA, 11 Dis: Kementerian Kelautan dan Perikanan (KKP) menggagalkan penyeludupan 52,000 anak udang karang di Pesisir Barat, Lampung dengan nilai keseluruhan 7.8 bilion rupiah atau RM2.2 juta yang disyaki diseludup ke Vietnam.
Ketua Pengarah Pengawasan Sumber Laut dan Perikanan (PSDKP), Pung Nugroho menjelaskan pihaknya melakukan serbuan susulan laporan penduduk berhubung aktiviti pengedaran anak udang karang secara haram di kawasan itu.
“Menerusi maklumat yang ada, pasukan kami menjalankan risikan dan akhirnya berjaya menggagalkan penyeludupan anak udang karang secara haram untuk dihantar ke luar negara dalam sebuah serbuan,” katanya.
Jelas Nugroho menerusi serbuan itu, pihaknya berjaya mendapatkan bukti 10 kotak berisi anak udang karang pelbagai jenis iaitu 43,000 anak udang pasir, 7,000 anak udang mutiara, 2,200 anak udang daripada dua suspek yang terlibat.
Hasil rampasan anak udang karang itu dilepaskan di perairan Teluk Lampung bagi memastikan kesemua anak udang itu kembali ke habitat asal.
Sepanjang tahun 2024 ini, PSDKP telah berjaya mematahkan penyeludupan 5,525,108 anak udang karang dengan nilai kerugian berjumlah RM210 juta.
Dalam pada itu, Indonesia terus melakukan operasi penguatkuasakan undang-undang tadbir urus udang galah bagi menghalang penyeludupan dan menjaga ekosistem komoditi itu agar kekal terjaga.