KUALA LUMPUR, 11 Dis: Kerajaan tidak bercadang untuk memperkenalkan undang-undang baharu bagi memelihara keharmonian agama dan perpaduan kaum di negara ini.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, K. Saraswathy berkata, ini kerana undang-undang sedia ada sudah memadai untuk mendakwa pihak yang sengaja menggugat perpaduan kaum dan agama.
“Siasatan dan dakwaan boleh dilakukan di bawah Subseksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) iaitu kesalahan menghasut; Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) iaitu kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan Seksyen 295 Kanun Keseksaan (Akta 574) iaitu kesalahan membencana atau mencemarkan tempat sembahyang dengan niat hendak mengaibkan agama mana-mana golongan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan RSN Rayer (Pakatan Harapan -Jelutong) yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang untuk menggubal undang-undang ‘Religious Harmony Act’ bagi mengatasi masalah polemik agama yang kian berleluasa di negara ini sejak kebelakangan ini.
Dewan Negara: Fadillah pengerusikan mesyuarat penyelarasan agensi penguatkuasaan
Sementara itu Saraswathy memberitahu, Seksyen 298 Kanun Keseksaan pula terpakai untuk kesalahan menyebut perkataan-perkataan atau melakukan perbuatan-perbuatan lain dengan niat sengaja hendak melukakan perasaan agama seseorang.
“Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menyebabkan, atas alasan-alasan agama, suasana tidak harmoni, perpecahan, perasaan permusuhan, benci-membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan,” katanya.
Beliau menambah Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan bahawa semua orang adalah sama di sisi undang-undang dan berhak untuk mendapat perlindungan yang sama rata dan adil.
Dewan Negara: Kadar kematian kanak-kanak bawah lima tahun di Malaysia rendah
“Kementerian Perpaduan Negara berpandangan tiada keperluan untuk menggubal mahupun memperkenalkan suatu undang-undang baharu seperti Akta Keharmonian Negara buat masa ini dan memadai dengan meningkatkan penguatkuasaan undang-undang sedia ada,” katanya.
Pada masa sama beliau memberitahu, sekiranya keadaan mendesak dan terdapat keperluan untuk melaksanakan semakan semula berhubung perkara itu, kementerian akan menyokong penuh hasrat berkenaan. -TVS