KUALA LUMPUR, 11 Dis: Kementerian Digital akan melancarkan program Rakyat Digital esok, susulan keberkesanan dan kejayaan program ‘AI Untuk Rakyat’ sebelum ini.
Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, program tersebut merupakan platform pembelajaran dalam talian yang baharu, bertujuan melengkapkan rakyat Malaysia dengan kemahiran dan pengetahuan digital yang penting untuk berkembang dalam ekonomi digital yang sentiasa berubah pada ketika ini.
“Menerusi platform ini, setiap lapisan masyarakat boleh mendapatkan pengetahuan umum dalam aspek teknologi baharu termasuk AI.
“Ia sebagai satu saluran pembelajaran interaktif bagi memperluaskan pengetahuan umum berhubung teknologi digital serta membina bakat baharu mengikut model khusus yang disediakan.
“Kementerian Digital juga mengambil perhatian berhubung aspek pembelajaran AI yang dibangunkan secara holistik dan inklusif di setiap peringkat merangkumi institusi pendidikan, sektor swasta dan juga kerajaan,” jelasnya.
Beliau menjawab pertanyaan Tan Kar Hing (Pakatan Harapan -Gopeng) yang ingin tahu mengenai pencapaian program ‘AI Untuk Rakyat’ serta kesiapsiagaan ekosistem pembelajaran AI (kecerdasan buatan) di institusi pendidikan, sektor swasta dan kerajaan.
Mengulas mengenai program ‘AI Untuk Rakyat’, Wilson Ugak menjelaskan sehingga Disember 2024, seramai 1.3 juta orang daripada pelbagai kumpulan termasuk pelajar, profesional dan pegawai kerajaan telah menyertainya.
Program tersebut katanya, selaras dengan inisiatif Pelan Ekonomi Digital Malaysia dan Strategi IR4.0.
“Ia turut menekankan pembinaan populasi yang celik teknologi, memupuk inovasi dan mengurangkan jurang kemahiran digital dalam negara,” ujarnya.
Untuk rekod, portal Rakyat Digital yang bakal dilancar esok merupakan salah satu perancangan khusus kerajaan dalam usaha memperbanyakkan latihan serta pembangunan kapasiti AI bagi mencpai sasaran 13,000 bakat AI menjelang 2026. -TVS