KUALA LUMPUR, 11 Dis: Kementerian Pendidikan (KPM) merancang untuk memperluas kelas hibrid kepada 400 buah sekolah di bawah Projek Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) Rolling Plan (RP) 5.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata projek yang dijangka bermula tahun depan hingga 2029 itu akan diseragamkan kepada 15 lokasi termasuk pusat sumber, bilik pentadbiran dan kelas hibrid.
“Projek ini merangkumi tiga skop utama iaitu pendawaian elektrik dengan peruntukan RM20 juta, peranti RM153 juta dan rangkaian Internet RM167 juta.
“Jumlah peruntukan yang disediakan untuk tujuan peluasan kepada 400 buah sekolah ini bernilai RM340 juta,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Jamaludin Yahya (Perikatan Nasional -Pasir Salak) yang ingin tahu mengenai kajian terhadap tahap keberhasilan projek rintis kelas hibrid sebagai proses pengajaran dan pembelajaran baharu termasuk institusi pendidikan dan sekolah terpilih di seluruh negara.
Tambah Kah Woh, KPM menerima maklum balas positif daripada guru apabila terdapat permintaan untuk menambah jumlah kelas serta cadangan untuk penambahbaikan dari aspek latihan penggunaan peralatan pembelajaran secara berkala dan aspek keselamatan peralatan dalam kelas.
“Antara keperluan lain termasuk video-video pengendalian dan penggunaan kemudahan bagi memudahkan para guru meneroka sendiri serta belajar untuk mengendalikan peralatan dan kemudahan yang disediakan.
“Kelas hibrid sangat membantu pengajaran dan pembelajaran, dan pihak sekolah amat berharap agar ada tambahan kelengkapan Smartboard pada bilik khas untuk kegunaan pelajar bukan kelas hibrid,” katanya lagi.
Untuk rekod, sejumlah 110 buah institusi pendidikan terpilih yang melibatkan 550 buah kelas bagi tujuan pelaksanaan projek rintis kelas hibrid ini.
Melalui pelaksanaan projek rintis tersebut, kesemua kelas terlibat dinaik taraf dari segi pendawaian elektrik serta kelengkapan kemudahan peralatan digital seperti Smartboard, televisyen pintar, set kamera, perakam suara dan sebagainya.
Infrastruktur rangkaian dalaman juga dinaik taraf bagi membolehkan capaian Internet disediakan di semua kelas yang terbabit. -TVS