KUALA LUMPUR, 11 Dis: Sebanyak RM10 juta diperuntuk di bawah Insentif Konsert dan Acara di Malaysia (CEMI) menerusi pemberian dana bagi membida artis-artis luar negara menganjurkan konsert di Malaysia.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata inisiatif yang telah diumumkan menerusi Belanjawan 2025 itu bertujuan menjadikan Malaysia sebagai pilihan utama dalam penganjuran konsert di Asia Tenggara.
Dewan Negara: Fadillah pengerusikan mesyuarat penyelarasan agensi penguatkuasaan
Jelas beliau, inisiatif itu juga dilaksana bagi merancakkan aktiviti ekonomi dengan menarik lebih ramai pengunjung ke Malaysia.
“Kementerian Komunikasi dan Unit Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) komited dalam usaha menarik penganjuran konsert khususnya yang melibatkan artis luar negara di Malaysia,” katanya di Dewan Negara di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Dewan Negara, Dr Lingeshwaran mengenai usaha dan tindakan kementerian untuk menarik penganjuran konsert di Malaysia.
Tambahnya, PUSPAL turut menyediakan kemudahan permohonan secara dalam talian menerusi sistem ePUSPAL bagi penganjur dan syarikat penggambaran filem tempatan yang ingin memohon penggambaran filem asing dan persembahan artis luar negara.
Sementara itu, mengulas usaha mempromosi negara khususnya Pulau Pinang sebagai lokasi penggambaran filem dan program televisyen, Teo menjelaskan Insentif Filem dalam Malaysia (FIMI) diberikan kepada penggambaran filem antarabangsa yang dijalankan dalam negara.
“FIMI menawarkan pemberian rebat tunai sebanyak 30 peratus kepada penggambaran filem atau program televisyen yang memenuhi syarat tertentu.
“Insentif ini bertujuan untuk menarik syarikat produksi luar negara supaya memilih Malaysia sebagai lokasi penggambaran sekali gus mampu memberikan impak mempromosikan Malaysia termasuk Pulau Pinang sebagai destinasi penggambaran antarabangsa dan menyumbang kepada limpahan ekonomi industri kreatif tempatan,” katanya. -TVS