KUALA LUMPUR, 11 Dis: Dewan Negara dimaklumkan lima tuntutan di bawah jawatankuasa Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) sedang dirujuk untuk keputusan peringkat tertinggi.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata butiran pertama membabitkan royalti minyak dan pembayaran tunai petroleum, mineral minyak dan medan minyak serta Akta Laut Wilayah.
Dewan Rakyat:Tiada keperluan gubal undang-undang baharu jaga keharmonian agama,perpaduan kaum
“Keempat (membabitkan) hak negeri ke atas pelantar benua dan kelima, duti setem dikenakan ke atas instrumen pemindahan caj menyewakan tanah di bawah Ordinan Tanah Sabah Bab 68 dan Kanun Tanah Sarawak Bab 81,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata demikian menerusi teks yang dibacakan oleh Timbalannya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Sementara itu sidang turut dimaklumkan terdapat 29 tuntutan yang dibincangkan di bawah MTPMA63 dengan 11 tuntutan selesai sepenuhnya dengan tujuh diselesaikan oleh Kerajaan Madani.
Dewan Rakyat:Tiada keperluan gubal undang-undang baharu jaga keharmonian agama,perpaduan kaum
“Ia membabitkan pengiktirafan Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Pengairan Saliran Sabah dan Sarawak sebagai Jabatan Teknikal di bawah Arahan Perbendaharaan 182 serta pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri 1995 bagi lantikan wakil Kerajaan Sabah dan Kerajaan Sarawak sebagai anggota tetap Lembaga Hasil Dalam Negeri,” katanya.
Tuntutan lain yang selesai sepenuhnya jelas Fadillah termasuk penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas Sabah, pentadbiran badan kehakiman di Sabah dan Sarawak serta penyediaan garis panduan penyerahan semula tanah dirizabkan bagi maksud Persekutuan di Sarawak dan Sabah.
“Keenam penyerahan kuasa kawal elektrik kepada Kerajaan Sabah, ketujuh cadangan pindaan Perkara 95 B Perlembagaan Persekutuan mengenai ubah suai bagi Sabah dan Sarawak mengenai pembahagian kuasa perundangan,” katanya.
Sementara itu beliau memaklumkan terdapat lapan tuntutan masih dalam perbincangan iaitu obligasi kewangan Persekutuan, pertambahan perjawataan perkhidmatan awam Sabah dan Sarawak (Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan), Borneosasi perkhdimatan awam di Sabah dan Sarawak dan pembangunan sempadan Sabah dan Sarawak dengan Kalimantan, Indonesia.
“Perbincangan juga melibatkan pertambahan Ahli Dewan Rakyat dari Sabah dan Sarawak, cadangan pindaan Perkara 25 A Perlancongan dalam Senarai Persekutuan Jadual Kesembilan kepada Senarai Tiga iaitu Senarai Bersama, kesihatan dan pendidikan,” katanya. -TVS.