KUALA LUMPUR, 11 Dis: Kadar kematian bagi kanak-kanak di bawah umur lima tahun di Malaysia direkodkan pada 2023 adalah sebanyak 8.3 kematian bagi setiap 1,000 kelahiran hidup.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata kadar yang diterbitkan Vital Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia itu adalah lebih rendah daripada kadar yang disasar oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu 25 kematian bagi setiap 1,000 kelahiran hidup.
Jelas beliau, 40 peratus kematian bagi kanak-kanak bawah lima tahun adalah disebabkan keadaan tertentu ketika tempoh dalam peranakan seperti pramatang dan asfiksia.
“Selain itu, kecacatan kongenital (31 peratus) disebabkan keabnormalan kromosom seperti Sindrom Patau dan Sindrom Edward; penyakit sistem pernafasan (5.4 peratus) seperti radang paru-paru dan bronkitis; kecederaan, keracunan dan faktor luaran (5.1 peratus); dan penyakit berjangkit dan parasit tertentu (4.4 peratus) seperti denggi dan rotavirus,” katanya di Dewan Negara di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Dewan Negara, Dato Sivaraj Chandran mengenai isu kematian kanak-kanak di bawah umur lima tahun dan langkah bagi mengurangkan kadar di masa depan.
Sementara itu, Dzulkefly berkata Kementerian Kesihatan (KKM) telah melaksanakan strategi bagi mengurangkan kematian perinatal termasuk pengukuhan Program Penjagaan 1,000 Hari Pertama Kehidupan.
“Selain itu, meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan bagi mencegah kematian berkaitan kelahiran pramatang dengan memperkukuhkan intervensi perubatan melalui pemberian ubat-ubatan seperti magnesium sulphate serta penerbitan Garis Panduan Prevention and Management of Preterm Birth pada Tahun 2023,” katanya lagi.
Beliau memberitahu, KKM juga menambah baik kualiti pengurusan kelahiran bayi baru lahir dan pediatrik dengan meningkatkan lagi bilangan katil di wad NICU, SCN dan PICU di hospital. -TVS.