MIRI, 11 Dis: Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) Zon Maritim Miri merekodkan 33 tangkapan sepanjang tahun ini melibatkan pelbagai kesalahan iaitu pelanggaran Akta Perikanan Malaysia.
Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Miri, Komander Mahkos Juing berkata, antara kes berprofil tinggi adalah rampasan dadah, arak, rokok serta penangkapan vesel nelayan asing dari Vietnam dan Indonesia.
“Kesemua tangkapan ini membawa kepada penahanan 152 individu, termasuk 27 warga tempatan dan 125 warga asing,” katanya pada sidang media di Kompleks Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Miri, hari ini.
Katanya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM15 juta merangkumi denda mahkamah, hasil lelongan bahan bakar dan ikan serta kompaun.
“APMM mencatatkan 542 hari operasi aset di laut yang menghasilkan 2,768 pemeriksaan dan 1,115 penggeledahan,” ujarnya.
Menurutnya lagi, tiada sebarang kecemasan atau insiden laut direkodkan sepanjang tahun ini.
“Keberkesanan kempen keselamatan dan taklimat berterusan meningkatkan kesedaran komuniti maritim mengenai kepentingan keselamatan di laut,” jelasnya. – TVS