PETALING JAYA, 10 Dis: Kerajaan Selangor optimis mampu meraih RM2 bilion resit pelancongan di negeri itu pada tahun depan menerusi jualan buah durian.
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata, jumlah itu mampu dicapai susulan sambutan luar biasa terutama dalam kalangan pelancong luar negara terhadap ‘raja buah itu’ dengan potensi itu akan dimanfaatkan sepenuhnya sempena Tahun Melawat Selangor (TMS) 2025.
“Kita yakin ia akan menjana impak dan hasil yang besar serta menyeluruh terutama daripada pelancong China dan Hong Kong. Kita telah kenal pasti bahawa pelancong dari kedua negara itu rata-ratanya berkunjung ke Malaysia semata-mata untuk mendapatkan durian, lebih-lebih lagi ketika musimnya.
“Selangor merupakan pintu masuk dan lokasi paling dekat untuk pelancong luar negara yang tiba di Lapangan Terbang Aantarabangsa (KLIA) untuk mendapatkan buah durian. Mereka akan mencarinya di negeri ini terlebih dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir menyempurnakan Program Bawa Durian ke Persada Dunia di sini, pada petang Isnin.
Mengulas lanjut, beliau berkata SS2 Petaling Jaya akan dipromosi dan ditonjolkan dalam (TMS) 2025 susulan lokasi itu dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan dan tersohor dalam kalangan penggemar durian di negeri ini.
“Kita nak pastikan lapan juta pelancong akan berkunjung ke Selangor pada tahun depan dengan sasaran resit pelancongan sebanyak RM11.7 bilion.
“Ia sekali gus akan meningkatkan ekonomi kitaran hiliran dan sebagainya bukan sahaja di anjung utara tetapi selatan juga dengan Petaling Jaya sebagai lokasi pelancongan durian utama,” katanya. – TVS