KUCHING, 10 Dis: Prestasi membanggakan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak terutamanya dalam pembinaan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) dijadikan modal untuk berhujah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa perundingan melibatkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, menerusi prestasi memberangsangkan JKR Sarawak itu, Kerajaan Persekutuan telah mengiktiraf JKR Sarawak sebagai Jabatan Teknik Kerajaan pada tahun lepas yang membolehkan pelaksanaan tadbir urus secara sendiri bagi projek pembangunan Persekutuan pada kadar sehingga RM50 juta.
“Sebab itu, sekarang ini kerja-kerja anda bertambah berat lagi kerana kali ini, anda bukan sahaja melaksanakan projek-projek Persekutuan, tetapi anda juga melaksanakan projek-projek negeri yang bertambah dari tahun ke tahun.
“Kalau dahulu, kita susah hendak membina jambatan, namun sekarang kita membina semua jambatan pada masa yang sama.
“Bayangkanlah Jambatan Batang Lupar yang mempunyai tiga jambatan, selepas itu kita ada Jambatan Lassa, Jambatan Paloh, Jambatan Kemena, Jambatan Limbang, Jambatan Marudi dan jambatan-jambatan kecil yang turut dibina, semuanya dibiayai oleh kerajaan negeri termasuk juga jalan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala JKR Sarawak 2024 di sini, malam tadi.
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Aidel Lariwoo dan Pengarah JKR Sarawak, Cassidy Morris.
Sementara itu, ujar Abang Johari, beliau turut menasihati warga JKR agar sentiasa mengekalkan kepercayaan dan keyakinan yang telah diberikan terhadap mereka.
“Keyakinan itu mesti datang daripada integriti kita sendiri. Jika kita tidak mempunyai integriti, orang lain tidak akan percaya terhadap kita, jadi itulah kuncinya.
“Saya harap warga JKR bersama-sama memperkuatkan integriti kita, lagipun kita di sini adalah untuk melaksanakan amanah rakyat dan saya juga berada di sini berdasarkan kepercayaan yang telah diberikan orang lain kepada saya,” ujarnya. – TVS