Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ditemui pada sesi rakaman program terbitan TVS, Temu Bual Khas Pasca-Belanjawan Sarawak 2025, di sini, hari ini. Foto TVS

PM Anwar bakal umum formula agihan gas PETROS, PETRONAS – Abang Johari

ByAhmad Burhanuddin

KUCHING, 10 Dis: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mendedahkan formula penyelesaian isu pengagihan gas melibatkan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dengan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) bakal diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau meyakini bahawa kini isu berkenaan sudah boleh dianggap selesai sementara menanti pengumuman sebenar dibuat.

“Jadi, perkara ini tidak ada masalah sebenarnya, hanya dari sudut perundangan yang mana PETRONAS bergantung kepada Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA), makanala kita (Sarawak) bergantung kepada Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958 dan ini sudah diputuskan bahawa PDA dengan OMO ini boleh wujud bersama (coexist).

“Namun, ramai yang membuatkan perkara ini sebagai suatu isu yang besar di mana ada yang kata PETRONAS akan hilang (keuntungan) RM100 bilion. Ya, mungkin memang akan kurang sedikit disebabkan oleh pengagihan gas tersebut.

“Saya rasa perkara ini boleh diselesaikan. Bahkan, sekarang ini sudah nampak ada penyelesaiannya, tetapi saya tidak boleh dedahkan dahulu pada ketika ini, biarlah Perdana Menteri akan memberitahu formula penyelesaian kepada kita. Ia sudah selesai,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi rakaman program terbitan TVS, Temu Bual Khas Pasca-Belanjawan Sarawak 2025, di sini, hari ini.

Abang Johari memberitahu syarikat minyak dan gas milik Kerajaan Sarawak akan meneruskan kerjasama dengan PETRONAS dalam industri gas di wilayah ini.

Jelas beliau, ini kerana PETROS dan PETRONAS menguasai sebahagian besar sektor simpanan gas di Sarawak.

Menurut Abang Johari, ini juga bermakna hasil penerokaan sumber asli itu di Sarawak akan dikongsi bersama dan isu berbangkit sebelum ini hanya membabitkan aspek perundangan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan