KUCHING, 10 Dis: Sarawak sama sekali tidak pernah mengabaikan kepentingan mata pelajaran Bahasa Malaysia sebagai salah satu kriteria penting kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT) milik kerajaan negeri itu.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapaee bertegas, bagi dasar pendidikan percuma Sarawak yang bermula 2026, ia tidak mendeskriminasikan antara pelajar-pelajar yang bekelulusan sekolah kebangsaan atau lulusan United Exam Certification (UEC) untuk diterima masuk ke IPT milik kerajaan Sarawak.
“Apa yang diperkata oleh Premier Sarawak (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg) adalah pada 2026 kita akan memberikan pendidikan percuma kepada rakyat Sarawak tanpa mengira latar belakang kaum, taraf sosial ekonomi dan sama ada memiliki kepujianan dalam Bahasa Malaysia atau tidak diperingkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Itu yang beliau perkatakan dan langsung tidak menyebut mengenai syarat kemasukan ke universiti dan ia hanya berkaitan dasar pendidik percuma Sarawak sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada bengkel DLP Sarawak Intervention: Revitalizing The Highly Immersive Program for School Leaders di sini pada Selasa.
Annuar berkata, universiti swasta milik Sarawak selama inti tidak mewajibkan kelulusan dengan kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia sebagai syarat utama kemasukkan.
Tegasnya, tiga universiti milik Kerajaan Sarawak iaitu Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Universiti Teknologi Swinburne dan Universiti Curtin tidak pernah meletakkan syarat berkenaan sebagai syarat utama kemasukan kerana ketiga-tiga universiti itu merupakan Universiti swasta milik Sarawak.
” Saya telah bercakap dengan Tan Sri Jeffrey Cheah, Pemilik Universiti Sunway dan dia berkata syarat kepujian untuk Bahasa Malaysia adalah untuk pelajar Malaysia sahaja.
“Namun jika tidak memiliki kepujian dalam mata pelajaran itu mereka harus mengambil subjek Mata Pelajaran Umum (MPU) semasa mereka menuntut di universiti tersebut. Dalam erti kata lain adalah tidak wajib untuk lulus dengan kepujian dalam Bahasa Malaysia untuk memasuki universiti ini melainkan universiti awam,” katanya.
Terdahulu Pakar bahasa, Profesor Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Abdul Karim berkata cadangan Sarawak yang tidak mendeskriminasikan kemasukan pelajar ke universiti milik negeri berkenaan secara percuma bermula 2026 bertentangan dengan Dasar Bahasa Kebangsaan.
Menurutnya pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan adalah untuk seluruh negara dan tidak boleh diabaikan sama sekali.
Ia kerana beliau percaya pembangunan masyarakat Malaysia bergantung kepada penguasaan bahasa kebangsaan. -TVS