Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Lembaga Tabung Haji dan Malaysia Airlines Berhad memeterai MoU bagi menjalin kerjasama strategik yang tertumpu kepada pengukuhan pelan pengurusan bencana ketika operasi haji. Foto TH

Lembaga Tabung Haji dan Malaysia Airlines tingkat usaha perkukuh pelan tindak balas bencana udara

ByLuqman Muhammad

SEPANG, 10 Dis: Lembaga Tabung Haji (TH) bersama Malaysia Airlines Berhad (MAB) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi menjalin kerjasama strategik yang tertumpu kepada pengukuhan pelan pengurusan bencana ketika operasi haji.

Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman berkata kerjasama ini adalah usaha berterusan TH dalam menambah baik tahap keselamatan dan kesejahteraan para jemaah haji.

“Sebagai agensi yang menguruskan perjalanan 31,600 jemaah haji negara setiap tahun, TH dan MAB akan sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan secara efektif sekiranya berlaku sebarang bencana,” katanya dalam satu kenyataan.

TH dan MAB turut menggabungkan pengalaman dan kepakaran kedua-dua pihak untuk membangunkan pelan tindak balas bencana udara agar dapat meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan keupayaan pengurusan menangani sebarang bencana dengan baik dan efisien.

Kerjasama yang dimeterai ini akan melibatkan inisiatif bagi menambah baik protokol operasi standard dan menetapkan peranan serta tanggungjawab yang jelas dalam pengurusan bencana udara semasa operasi haji.

Syed Hamadah berkata, TH dan MAB turut akan menjadualkan sesi kaji semula pelan bencana untuk diperbaiki secara berkala supaya ia bersesuaian dengan keperluan semasa.

“Kami percaya pengalaman dan kepakaran TH dan MAB dalam bidang masing-masing dapat menyumbang kepada proses haji dan operasi pesawat yang selamat dan cekap serta sentiasa bersedia dengan baik dalam menghadapi sebarang situasi yang mungkin berlaku,” katanya.

Majlis menandatangani MoU berkenaan disempurnakan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tuan Syed Hamadah Syed Othman dan Ahmad Luqman Mohd Azmi, Ketua Pegawai Eksekutif Penerbangan, Malaysia Aviation Group di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Penerbangan, Malaysia Aviation Group Ahmad Luqman Mohd Azmi berkata, Malaysia Airlines kekal komited dalam menyediakan pengalaman perjalanan yang selamat, selesa dan lancar buat semua penumpang selaras dengan nilai ‘Malaysian Hospitality’ yang menjadi asas setiap perkhidmatan yang diberikan.

Menurutnya, melalui kolaborasi ini, Malaysia Airlines dan Lembaga Tabung Haji dapat memastikan kesiapsiagaan dan tindak balas yang menyeluruh terhadap sebarang cabaran.

“Kami yakin bahawa kerjasama ini bukan sahaja memperkukuh keupayaan bersama dalam pengurusan krisis tetapi juga menegaskan keutamaan kami dalam menjaga kebajikan jemaah, sejajar dengan tanggungjawab kami kepada negara,” ujarnya lagi. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan