KUCHING, 10 Dis: Kerajaan Sarawak optimis akan mampu mencapai pendapatan sebanyak RM20 bilion pada tahun hadapan, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Premier Sarawak itu berkata, perkara tersebut boleh menjadi kenyataan kerana Sarawak tahu langkah-langkah yang tepat dalam menguruskan ekonomi dengan lebih baik, selain turut mempelbagaikan peluang dalam ekonomi baharu.
“Bayangkan apabila saya mengambil alih (jawatan Ketua Menteri Sarawak), pendapatan kita hanyalah RM5 ke RM6 bilion pada tahun 2017. Dalam tempoh tujuh tahun, hari ini, bajet kita ialah RM15 bilion dan pendapatan kita pula ialah RM14 bilion, semua 11 negeri yang ada di Malaysia tidak dapat melawan Sarawak.
“Saya bukan berniat untuk menunjuk-nunjuk, tetapi saya mahu memberitahu bahawa kita orang Sarawak tahu bagaimana hendak menguruskan ekonomi kita sendiri.
“Seperti yang dinyatakan oleh Datuk Amar Douglas Uggah Embas (Timbalan Premier Sarawak), kita mungkin akan mencapai pendapatan sehingga RM20 bilion pada tahun depan, jadi saya fikir kita pasti mampu melakukannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala JKR Sarawak 2024 di sini, malam tadi.
Jelas Abang Johari, walaupun dengan pendapatan yang semakin meningkat, Kerajaan Sarawak akan sentiasa mengamalkan perbelanjaan secara berhemah dan berjimat cermat.
“Kita ada Dana Kekayaan Berdaulat untuk masa hadapan, kita beri pendidikan percuma bermula 2026, selain itu, kita juga beri Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang mana Kerajaan Sarawak ada beri penambahan lagi iaitu di antara RM400-RM700 bergantung pada gred anda, diberikan pada setiap bulan,” ujarnya.
Pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) bulan lepas, Abang Johari ketika membentangkan Belanjawan Negeri 2025 (Rang Undang-Undang Perbekalan (2025), 2024 berkata, Sarawak dijangka mencatat pendapatan berjumlah RM14.2 bilion pada 2025, merupakan yang tertinggi pernah diunjurkan hasil komitmen kukuh dalam meningkatkan kelestarian fiskal negeri. – TVS