SANDAKAN, 10 Dis: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah mendedahkan kewujudan pengubahsuaian haram terhadap lori dan kenderaan berat di Sabah yang membimbangkan dari aspek keselamatan pengguna jalan raya dan aspek kerosakan jalan raya.
Menurut Pengarah JPJ Sabah, Mohd Harris Ali, antara pengubahsuaian haram yang sering dikesan termasuk pemanjangan jarak roda (“wheelbase”), tambahan muatan melebihi had, penggunaan bucket tidak mengikut spesifikasi, serta pengubahsuaian sisi lori daripada pagar boleh laras kepada pagar tetap.
“Berdasarkan pemerhatian JPJ, memang berlaku pengubahsuaian haram lori-lori dan kenderaan berat termasuk juga daripada aduan yang kami terima yang melibatkan kenderaan yang digunakan oleh industri sawit.
“Kami membuat pemantauan dan penguatkuasaan setiap hari, tetapi mereka ini agak licik. Berdasarkan laluan stesen timbang kita dan operasi yang ada, kadang-kadang mereka tidak keluar. Jadi kami memerlukan maklumat dari risikan dan juga daripada aduan daripada orang awam, untuk kami panggil untuk ambil tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas memeriksa sekatan jalan raya berhampiran Jabatan Perhutanan Sandakan, petang Isnin.
Had Berat Dengan Muatan (BDM) untuk kenderaan berat di Sabah adalah ditetapkan pada 38,000 kilogram (38 tan).
Menurut Mohd Harris, lori-lori yang telah diubahsuai untuk membawa muatan lebih bukan sahaja salah di sisi undang-undang, malah boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain dan merosakkan jalan raya di Sabah.
Beliau turut menegaskan bahawa JPJ akan terus mengambil tindakan tegas terhadap kenderaan yang melanggar peraturan. Operasi rentas yang melibatkan penggunaan stesen timbang dan timbang bergerak akan terus diperhebatkan bagi memastikan lori-lori ini tidak terlepas daripada tindakan.
JPJ Sabah turut menyeru orang ramai untuk menggunakan aplikasi MyJPJ bagi melaporkan pelanggaran undang-undang jalan raya termasuk kenderaan berat yang membawa muatan lebih had berat.
Katanya, aduan yang disertakan dengan gambar akan membantu JPJ bertindak dengan lebih pantas.
“JPJ Negeri Sabah menyeru kepada semua rakyat Malaysia dan rakyat negeri Sabah agar menggunakan aplikasi MyJPJ sebagai platform utama membuat aduan. Hanya perlu klik kepada ikon MyJPJ dan terus buat aduan, tangkap gambar dan kita akan membuat siasatan.
“Salain daripada itu, aduan juga boleh dihantar melalui email ke aduantrafik@jpj.gov.my bagi membantu pihak JPJ untuk mengambil tindakan pantas terhadap pemandu yang tidak mematuhi undang-undang lalu lintas yang telah ditetapkan.
“Kadang-kadang kehadiran kami tidak dapat di semua tempat dan di setiap masa, tetapi kami berharap dengan portal aduan ini, kami akan dapat membuat siasatan dan mengambil tindakan dengan lebih cekap dan pantas,” katanya.
Pada ketika ini, JPJ mempunyai enam stesen timbang dan dua stesen timbang bergerak di seluruh Sabah.
Dalam masa itu, Mohd Harris berkata pihak JPJ akan mempergiatkan lagi usaha untuk memerangi kegiatan kenderaan lebih muatan dengan meningkatkan operasi pada tahun hadapan.
“Ini bukan sahaja untuk mengambil tindakan semata-mata, tetapi juga untuk menimbulkan kesedaran agar pengguna jalan raya mematuhi undang-undang yang sedia ada dan memberi keyakinan dan rasa selamat kepada kesemua pengguna jalan raya di Sabah,” tambah beliau. -TVS.