KUALA LUMPUR, 10 Dis: Seramai 219,640 orang berinsurans (OB) telah menerima bayaran pampasan hilang upaya daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dengan melibatkan jumlah RM2.12 bilion pada 2023.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata konteks OB adalah termasuk hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, pencen, Bantuan Ilat serta elaun keuzuran.
Jelas beliau, seramai 215,113 OB menerima pampasan Skim Bencana Kerja dan Skim Keilatan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja (Akta 4) melibatkan bayaran sebanyak RM2.10 billion.
“Seramai 4,476 OB menerima faedah di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Akta 789) dengan bayaran sebanyak RM26.54 juta,” katanya pada Waktu – Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Adnan Abu Hassan (Barisan Nasional – Kuala Pilah) berkenaan statistik bagi pampasan hilang upaya yang dibayar oleh PERKESO pada 2023.
Sementara itu Steven turut memaklumkan seramai 51 OB telah menerima pampasan melibatkan bayaran sebanyak RM75,947 di bawah Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 (Akta 838).
Berhubung usaha mengekang dan memastikan kes tuntutan palsu atau kes seumpama tidak berulang, beliau memaklumkan kementerian dan PERKESO telah menjalinkan kerjasama strategik dengan beberapa agensi penguatkuasa.
“Selain itu, melaksanakan analisa data, membuat pemantauan, penyeliaan dan intipan serta siasatan dalaman secara berterusan terutama bagi membongkar kewujudan rangkaian kartel penipuan tuntutan palsu Faedah Hilang Upaya Kekal (HUK) yang beroperasi sejak beberapa tahun lalu,” katanya
Beliau berkata PERKESO juga akan terus memperkukuh mekanisme semak dan imbang dengan mewujudkan Jawatankuasa Penilaian Keputusan Jemaah Doktor agar kata putus hasil penaksiran adalah bebas daripada sebarang unsur manipulasi serta penipuan. -TVS