KUALA LUMPUR, 10 Dis: Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa draf pindaan bagi Peraturan-Peraturan Perubatan 2017 telah dibawa kepada Jabatan Peguam Negara untuk dimuktamadkan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata draf tersebut dalam proses pindaan selaras dengan pindaan Akta Perubatan agar dapat dikuatkuasakan dengan segera.
Jelas beliau, Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengadakan bengkel penyediaan draf pindaan bersama pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Pejabat Penasihat Undang-Undang (PUU).
“KKM juga telah mengadakan perbincangan menyeluruh bersama Majlis Perubatan Malaysia, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Jabatan Pendidikan Tinggi, Majlis Dekan Fakulti Perubatan Universiti Awam Malaysia, Akademi Perubatan Malaysia, dan Ketua-ketua Kepakaran di bawah KKM,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Lim Guan Eng (Pakatan Harapan- Bagan) mengenai kemajuan selepas pindaan Akta Perubatan yang mensahihkan pegawai perubatan yang mengikuti kursus dan telah lulus Program Parallel Pathway (PPP) untuk Pembedahan Kardiotorasik, Pembedahan Plastik dan Perubatan Keluarga.
Sementara itu, Dzulkefly berkata kementerian perlu menitik berat pandangan semua pihak berkaitan memandangkan proses pendaftaran pakar dan pengiktirafan latihan kepakaran merupakan isu rumit.
“Ini bagi memastikan proses yang diperkemaskan adalah praktikal dan selari dengan tuntutan undang-undang susulan daripada kelulusan Akta tersebut di Dewan Negara pada 29 Julai 2024,” katanya. -TVS.