KUALA LUMPUR, 10 Dis: Jabatan Muzium Malaysia (JMM) menyasarkan kehadiran seramai 600,000 pengunjung ke Muzium Negara bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, K. Saraswathy berkata, JMM sedang mengatur perbincangan bersama Kedutaan Turkiye dan Kedutaan Oman di ibu negara bagi merancang penganjuran program.
“(Ini termasuk) pameran bertaraf antarabangsa khususnya untuk menyemarakkan Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Michael Mujah Lihan mengenai sasaran jumlah pengunjung ke Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Mengenai data kehadiran pengunjung sebelum dan selepas pandemik COVID-19, Saraswathy memaklumkan statistik menunjukkan penurunan jumlah pelawat.
“Sebelum pandemik pada 2017 merekodkan seramai 934,773 pengunjung manakala pada 2018 seramai 801,747 manakala 2019 pula mencatatkan 727,955 pengunjung.
“Selepas pandemik pula, pada 2022 seramai 281,098 pengunjung, 2023 mencatatkan 534,703 dan setakat 30 November 2024, seramai 498,702 pengunjung,”tambahnya.
Sementara itu beliau mengakui masalah kekangan ruang dan persaingan dengan muzium negeri dan muzium-muzium nasional serantau turut menyumbang kepada kemerosotan pengunjung.
“(Sehubungan itu) Kementerian Perpaduan Negara menerusi JMM mengambil serius segala usaha untuk membangunkan Muzium Negara sebagai sebuah institusi muzium berkelas dunia.
“Permohonan cadangan pembesaran Kompleks Muzium Negara yang turut melibatkan pemindahan ibu pejabat JMM telah diangkat melalui Rancangan Malaysia Ke-12 di bawah RP (Rolling Plan) 2, RP (Rolling Plan) 3, RP (Rolling Plan) 4 dan RP (Rolling Plan) 5,” katanya.
Beliau turut berharap agar permohonan menaik taraf Muzium Negara yang dibuat mendapat pertimbangan Kementerian Ekonomi dengan mengambil kira status sebagai muzium nasional yang menjadi ‘gateway’ kepada aspek sejarah ketamadunan dan warisan negara. -TVS.