KUALA LUMPUR, 10 Dis: Sarawak menerima ketibaan seramai 64,051 pelancong dari China bagi tempoh Disember 2023 hingga Oktober 2024.
Timbalan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akhbar Khan berkata jumlah ketibaan itu dicatat sepanjang pelaksanaan inisiatif Pelan Liberalisasi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Merujuk kepada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak dan Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak sepanjang perlaksanaan inisiatif ini, jumlah ketibaan pelawat China yang telah memasuki Sarawak adalah seramai 64,051,” katanya di Dewan Negara di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Roderick Wong Siew yang ingin tahu jumlah pelancong China yang telah melawat ke Malaysia khususnya Sarawak selepas perjalanan tanpa visa dilaksanakan.
Sementara itu, Khairul Firdaus turut memaklumkan ketibaan pelancong China ke Malaysia dalam tempoh sama adalah seramai 2,990,711.
“Jika dibandingkan dengan tempoh sama, Disember 2022 sehingga Oktober 2023 mencatatkan 1,225,214 orang pelancong asing dari China ke Malaysia,” katanya. -TVS